KONSEP TAMADUN
1.0 Pendahuluan
Perbincangan tamadun dan ketamadunan oleh
para sarjana tamadun banyak bertitik tolak daripada perbincangan
istilah. Terdapat beberapa istilah yang dikaitkan dengan tamadun. Antara
istilah yang sering digunakan ialah ‘civilization’ dalam bahasa
Inggeris, tamadun dan peradaban dalam bahasa Melayu, maddana, umran dan
hadarah dalam bahasa Arab. Setiap istilah ini mempunyai maksud dan
tafsirannya tersendiri. Peristilahan ini memberi kesan kepada definisi
tamadun. Selain ini, definisi tamadun juga berbeza antara seorang
sarjana dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi tafsiran tamadun
berdasarkan disiplin ilmu masing-masing. Ini menghasilkan definisi
tamadun yang pelbagai berdasarkan dimensi yang berbeza. Bagi ahli
antropologi, tamadun dikaitkan dengan kebudayaan. Ahli arkeologi pula
menegaskan, tamadun dihubungkan dengan peninggalan bahan-bahan bukti
(artifak) yang boleh digunakan oleh sejarawan dalam menyusun kisah
sejarah masyarakat lampau.
Bagi para sarjana Muslim Islam, tamadun
bermula dengan pengutusan para nabi dan rasul. Pembentukan masyarakat
bertamadun menurut acuan Pencipta manusia adalah tujuan utama perutusan
mereka. Para nabi dan rasul diberi amanat untuk meluruskan jalan
kehidupan manusia dan menjadikan manusia umat yang bertamadun.
Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang memiliki seluruh
tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan material.
Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang mantap
untuk manusia membina tamadun.
Menurut Islam, tamadun sesebuah bangsa itu
akan terbina apabila wujudnya nilai-nilai baik dan mulia dalam sesebuah
masyarakat. Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-nilai baik
atau menyalahi matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat
tersebut akan mengalami zaman keruntuhan.
1.1 Peristilahan Tamadun
Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi para sarjana ketamadunan terdiri daripada istilah-istilah berikut:
• ‘Umran
• Hadharah
• Madaniyah
• Tamadun
• Civilization
• Peradaban
1.1.1 Istilah Umran dan Hadarah
Istilah umran dan hadarah diperkenalkan
oleh Ibn Khaldun (14M) dalam karya beliau yang terkenal berjudul
Muqaddimah. Beliau menggunakan dua istilah ini untuk menggambarkan
masyarakat yang bertamadun. Istilah umran digunakan untuk menerangkan
sifat-sifat fizikal tamadun; iaitu kawasan tanah yang didiami secara
tetap dan aspek-aspek pembangunan yang wujud di satu-satu kawasan.
Manakala hadarah pula merujuk kepada kehidupan yang menetap (M.A.J. Beg,
1982a, , 1982b). Oleh itu, istilah umran digunakan untuk maksud
pembangunan dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan
tamadun. Ini bermakna apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan
penduduk bertambah besar. Sehubungan itu, tamadun akan terhasil.
Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama masyarakat yang bertamadun. Antaranya seperti berikut:
• Aspek keagamaan
• Organisasi sosial
• Sistem perhubungan
• Sistem perundangan
• Bandar
• Aspek kesenian – senibina, seni khat dll.
Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan
agama dalam pembentukan masyarakat bertamadun. Malah bagi beliau, agama
memainkan peranan penting. Demikian juga peranan penting yang dimainkan
oleh sistem perundangan kerana sistem ini mampu menghasilkan keadilan.
Nilai keadilan amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun
sesebuah tamadun. Bandar juga merupakan salah satu asas yang penting
dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun kerana kota atau bandar
merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan. Oleh itu, pembangunan bandar
mestilah menggunakan perancangan yang baik dan rapi. Antara faktor
penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah bandar adalah
seperti berikut:
• Udara yang bersih
• Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan sebagai jalan perhubungan
• Sumber makanan asasi
• Berhampiran dengan sumber binaan
• Kawasan penternakan (M.A.J. Beg, 1982a; 1995)
.
1.1.2 Istilah Peradaban
Peradaban merupakan istilah dalam bahasa
Melayu yang sering dikaitkan dengan masyarakat yang bertamadun. Menurut
Kamus Dewan, masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat
yang memiliki tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani.
Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan masyarakat yang dicirikan atau
didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran
sama ada aspek sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi (Kamus
Dewan, 2002).
Pada dasarnya, istilah-istilah di atas
merujuk kepada satu keadaan yang memiliki dua aspek pencapaian iaitu
material dan spiritual dalam kehidupan. Kedua-dua pencapaian ini
membentuk pencapaian asas dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Antara
pencapaian tersebut ialah seperti berikut:
Pembentukan kota sebagai pusat pemerintahan atau pembinaan tamadun.
Kemunculan dan perkembangan ilmu dan kemahiran.
Tahap kehidupan yang tinggi iaitu kehidupan hadarah bukannya badawah.
Kemajuan rohani dan jasmani.
1.2 Masyarakat Maju
Pada masa kini, penggunaan istilah
masyarakat maju lebih dominan daripada istilah masyarakat bertamadun.
Masyarakat maju diertikan sebagai masyarakat yang mempunyai tahap
kemajuan sains dan teknologi serta ekonomi yang berasaskan
perindustrian. Justeru itu, muncul beberapa istilah khusus untuk
menggambarkan tahap kemajuan sesebuah negara yang diukur dari aspek
pembangunan. Pencapaian ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu:
* Negara-negara maju (yang telah membangun). Antara negara-negara yang termasuk dalam kategori ini ialah:
* Negara-negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan pembangunan yang pesat dalam jangka masa yang agak lama seperti:
* Negara-negara yang mempunyai rekod pembangunan yang kurang pesat, iaitu:
Wilayah-wilayah Caribbean (kecuali Jamaica dalam kategori kedua)
Asia Tenggara (kecuali Singapura – kategori pertama, Filipina, Malaysia, Brunai dan Thailand – kategori kedua).
* Negara-negara yang tidak membangun atau
negara yang sentiasa berhadapan dengan siri peperangan yang panjang atau
suasana politik yang tidak stabil. Negara-negara ini di sebut juga
sebagai ‘failed states’. Antara negara-negara tersebut ialah :
Negara-negara yang sedang membangun meliputi 8 buah negara Islam yang disebut Developing 8 (D-8 atau Developing Eight) iaitu:
i. Iran
ii. Indonesia
iii. Malaysia
iv. Pakistan
v. Bangladesh
vi. Turki
vii. Mesir
viii. Nigeria
Antara objektif pengenalan D-8 ialah untuk
meletakkan negara-negara dalam ekonomi dunia, membuka ruang untuk
hubungan dagang, menaikkan taraf hidup dan memberi peluang untuk membuat
keputusan di peringkat antarabangsa. Kerjasama utama termasuklah dalam
pengurusan kewangan, perbankan, pembangunan luarbandar, sains dan
teknologi, pembangunan manusia, pertanian, sumber tenaga, persekitaran
dan kesihatan. (Wikipedia)
Ukuran klasifikasi negara-negara ini kepada beberapa blok adalah berdasarkan beberapa pencapaian berikut:
Tahap pembangunan ekonomi yang rendah.
Tahap hidup yang rendah – Dari segi pencapaian pendidikan, penjagaan kesihatan, dll.
Negara yang tidak berasaskan perindustrian tetapi berasaskan pertanian dan penternakan.
Perkembangan sektor perindustrian yang tidak setara dengan perkembangan penduduk.
Walaupun terdapat beberapa istilah yang
digunapakai, tetapi istilah yang signifikan dari segi penggunaannya
ialah “negara membangun” dan “negara yang sedang membangun” atau Third
World. Dominasi istilah “negara atau masyarakat maju” berbanding istilah
“tamadun” amat berkait rapat dengan kejayaan barat mendominasi kemajuan
dunia keseluruhannya dari pelbagai aspek. Hal ini bertambah kukuh
dengan adanya teknologi canggih ciptaan barat seperti teknologi komputer
yang menjadi tunggak asas pelebaran teknologi maklumat ke seluruh
dunia. Selain itu, matlamat hidup hari ini yang bertumpu pada aspek
ekonomi dan keselesan hidup mengukuhkan penggunaan istilah masyarakat
maju. Semua negara dan masyarakat di dunia enggan di kategorikan sebagai
sebagai masyarakat mundur, sebaliknya mereka lebih bersedia diberi
sandaran sebagai masyarakat maju apatah lagi masyarakat moden.
1.3 CIRI-CIRI TAMADUN
Masyarakat yang bertamadun memiliki
beberapa ciri yang menggambarkan masyarakat maju. Antaranya ialah
penempatan kekal, revolusi pertanian, stratifikasi sosial, kehidupan
beragama, urbanisasi, sistem tulisan, organisasi politik dan
pengkhususan kerja.
1.3.1 Penempatan kekal
Penempatan kekal merupakan salah satu
perkara asas dalam mewujudkan masyarakat bertamadun. Penempatan kekal
memungkinkan pembinaan kota dan bandar. Bermula dari kota dan bandar
muncul pula unsur-unsur pembentukan tamadun yang lain. Penempatan kekal
akan dipilih berdasarkan lokasi yang mempunyai ciri-ciri berikut:
• Kemudahan perhubungan seperti lembah sungai dan pesisir pantai atau telok.
• Tanah yang subur bagi mewujudkan revolusi pertanian.
• Kawasan yang selamat untuk penternakan.
Contoh penempatan kekal pada sejarah awal
masyarakat bertamadun ialah Tamadun Mesir yang bertempat di Lembah
Sungai Nil, Tamadun Sumeria di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates,
Tamadun India di Lembah Indus, Tamadun Cina di Lembah Sungai Kuning dan
Tamadun Melayu di pesisir Selat Melaka dan Selat Sunda.
1.3.2 Revolusi Pertanian
Revolusi pertanian merubah pertanian
sebagai satu sumber sara hidup kepada pertanian bentuk komersil.
Revolusi ini merupakan salah satu bentuk peningkatan dalam tamadun.
Revolusi ini juga mampu meningkatkan taraf kehidupan melalui kegiatan
berikut:
• Pengumpulan kekayaan daripada hasil perkembangan industri pertanian dan penternakan.
• Revolusi pertanian adalah pra syarat
penting mewujudkan peluang pekerjaan bagi menambah produktiviti dan
melahirkan revolusi perdagangan.
1.3.3 Stratifikasi Sosial
Stratifikasi sosial turut menjadi aspek
penting dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Kewujudan stratifikasi
sosial dalam masyarakat bertamadun berdasarkan pembahagian tugas dan
tanggungjawab secara tidak langsung. Sebagai contohnya, pengkelasan
masyarakat bermula dengan pemilikan tanah pertanian yang mewujudkan
penempatan kekal dan seterusnya dapat mengumpul kekayaan. Pemilikan
tanah melahirkan golongan pemilik atau tuan tanah yang kuat berusaha dan
berpengaruh. Beberapa tuan tanah telah membentuk satu kelompok golongan
atasan, sementara buruh sebagai golongan pekerja atau hamba yang
membentuk golongan bawahan. Pengkelasan masyarakat seperti ini telah
melahirkan satu sistem kelas masyarakat yang di kenali dengan
feudalisme. Dalam sistem ini, golongan atasan merupakan golongan
minoriti, sementara golongan bawahan merupakan golongan majoriti.
Walau apapun bentuk kelas dalam masyarakat, stratifikasi sosial pasti wujud, hanya bentuk dan hak dalam masyarakat yang berbeza.
1.3.4 Kehidupan beragama
Kehidupan beragama merupakan salah satu
ciri masyarakat bertamadun. Dalam tamadun Islam, Ibn Khaldun menetapkan
aspek ini sebagai perkara asas. Manakala sarjana Barat yang turut
memasukkan aspek agama sebagai salah satu ciri masyarakat bertamadun
ialah Edward L. Farmer manakala R.A. Buchanan pula menyebut wujudnya
upacara agama yang kompleks adalah ciri-ciri kerahiban (Azhar Hj Mad
Aros dll, 2003). Hal ini bukan sahaja wujud semasa lahirnya Tamadun
Islam yang menjadikan agama sebagai teras masyarakat bertamadun, namun
tamadun silam juga banyak membuktikan aspek agama wujud dalam pembinaan
tamadun. Ini dapat dilihat dengan adanya perkara berikut:
• Kepercayaan
• Pemikiran tentang kuasa ghaib yang mengawal kehidupan
• Peninggalan bangunan keagamaan
1.3.5 Urbanisasi
Kewujudan bandar atau kota yang
menjadi pusat tamadun mencetuskan proses pembandaran atau urbanisasi.
Oleh itu, urbanisasi merupakan salah satu ciri tamadun kerana bandar
bertindak sebagai pusat pertemuan dan kegiatan masyarakat. Revolusi
bandar merupakan salah satu proses yang amat penting dalam meningkatkan
taraf kehidupan masyarakat bertamadun. Kelahiran kota dan negara adalah
hasil daripada revolusi bandar. Dalam tamadun silam, muncul juga
kerajaan yang berbentuk “negara kota” atau city-state. Kemunculan kota
telah mewujudkan beberapa aspek dan institusi penting dalam pembinaan
tamadun seperti berikut:
• Penempatan kekal
• Pembentukan pusat pemerintahan iaitu kota, kerajaan dan pertumbuhan tamadun.
• Institusi keagamaan
• Institusi pendidikan
• Institusi pemerintahan
• Institusi ekonomi.
1.3.6 Pengkhususan kerja dan inovasi teknologi
Peningkatan dalam kehidupan memberi kesan
kepada peningkatan keperluan untuk memenuhi kehidupan. Justeru itu,
lahirlah inovasi dan daya kreativiti serta pengkhususan kerja. Maka
dengan ini akan wujudlah pelbagai aktiviti berdasarkan bidang khusus.
Antara bidang yang muncul pada tahap awal masyarakat bertamadun adalah
seperti berikut:
• Perekonomian
• Pertukangan
• Seni bina
• Teknologi logam
Perkembangan ini melahirkan tenaga mahir
dalam pelbagai bidang. Antara bidang yang muncul pada tahap awal adalah
seperti berikut:
• Perkapalan
• Pembinaan pelabuhan dagang
• Penyediaan mata wang
• Penciptaan alat pengangkutan
Selain mencetuskan kemahiran teknologi,
muncul juga perkembangan yang meningkatkan daya kreativiti dan
karya-karya estetika seperti berikut:
• Seni lukis
• Seni ukiran
• Seni hiasan
• Seni tenunan dan anyaman
• Seni seramik
1.3.7 Sistem Tulisan
Tulisan merupakan salah satu bukti penting
kewujudan sesebuah tamadun yang dapat dipelajari dan disaksikan oleh
genarasi kemudian. Sistem tulisan dapat dilihat pada tugu-tugu
peringatan, bangunan keagamaan, makam, lembaran kertas, wang syiling dan
lain-lain. Sistem tulisan lahir dan berkembang berdasarkan perkembangan
sesebuah tamadun. Pada peringkat awal, sistem tulisan adalah dalam
bentuk simbol, dan seterusnya berkembang membentuk sistem nombor dan
tulisan.
1.4 KONSEP TAMADUN ISLAM
Konsep Tamadun Islam menyentuh beberapa
aspek yang menetapkan world view Tamadun Islam. Penetapan aspek ini
menjadi pembeza wajah antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain.
Aspek-aspek tersebut adalah seperti berikut:
1.4.1 Definisi Tamadun Islam:
Berikut dikemukakan pelbagai definisi tamadun yang diutarakan oleh para sarjana Tamadun Islam.
i. Ibn Khaldun
Beliau menjelaskan Tamadun Islam sebagai
pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asas kehidupan sehingga
dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang
lebih halus dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.
ii. M. A. J. Beg
Beliau membuat kesimpulan bahawa tamadun
merupakan pencapaian manusia dalam bentuk kata-kata, skrip, kesenian,
senibina, agama, undang-undang dan politik.
iii. Prof. Dr. Ahmad Shalaby
Tamadun Islam terbahagi kepada dua.
Pertama, peradaban Islam tulen yang menjadikan Islam sebagai sumber.
Kedua ialah peradaban yang dibangunkan oleh kaum muslimin dalam pelbagai
bidang ilmu seperti matematik, perubatan, astrologi, muzik dan
lain-lain. (1975:26)
vi. Professor Syed Naquib Al-Attas
Beliau telah mentafsirkan Tamadun Islam
sebagai satu keadaan kehidupan masyarakat yang telah mencapai tahap
kehalusan tatasusila dengan mempunyai kebudayaan yang luhur bagi seluruh
masyarakat.
v. Syed Qutb
Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan
yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat dalam seluruh dimensi
kehidupan seperti dalam sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi
dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan
nilai-nilai moral Islam (1989:112). Menurut beliau, Tamadun Islam tidak
boleh lari dari sibghatu’Llah atau acuan Allah (Ibid: 129). Beliau
mengambil contoh pencapaian tamadun yang telah di asaskan oleh
Rasulullah SAW. Tamadun Islam telah mencapai kemuncak keagungan dan
terus berkembangan pada zaman kemudiannya.
vi. Said Hawa
Melalui karyanya al-Islam beliau
menyatakan bahawa tamadun secara umum terbahagi kepada dua kategori
sahaja iaitu Tamadun Islam dan Tamadun Jahiliyah. Tamadun Islam ialah
segala aspek kemajuan yang tegak di atas kebudayaan Islam serta hasilnya
juga relevan dengan kebudayaan Islam. Manakala Tamadun jahiliyah pula
ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaan tanpa
mengambil kira aspek kerohanian dan moral.
Ringkasnya, Tamadun Islam meliputi seluruh
pencapaian dalam kehidupan manusia. Pencapaian-pencapaian dan
kemajuan-kemajuan yang dibangunkan oleh manusia berjalan selaras dengan
konsep Islam sebagai al-Din.
1.4.2 Aspek-aspek Penting Tamadun Islam
Terdapat tiga aspek penting dalam Tamadun Islam, iaitu:
i) Aspek manusia.
Aspek manusia berkisar dalam tiga
persoalan pokok, iaitu dari mana kita berasal, kenapa kita diwujudkan
dan ke mana kita akan pergi. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan
menentukan hala tuju dan pembentukan Tamadun Islam.
ii) Aspek masyarakat.
Aspek masyarakat melibatkan perkara-perkara berikut:-
(a) Hak untuk hidup.
(b) Hak untuk bebas.
(c) Maruah dan hak peribadi.
(d) Hak berfikir, beragama dan mengeluarkan pendapat.
(e) Keadilan dan kehakiman.
iii) Aspek sejarah.
Aspek sejarah dalam Tamadun Islam
merupakan satu mekanisma panduan, teladan dan sempadan. Pengajaran dari
fakta sejarah akan mendorongkan seseorang melakukan atau meninggalkan
suatu perbuatan. Kepentingan aspek ini terbukti pada sebahagian
kandungan al-Qur’an yang memaparkan sejarah umat yang silam dan juga
sejarah para nabi (anbiya’). Sebagai contohnya, Surah Maryam
menceritakan kisah Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa AS.
Demikian juga surah Ali Imran menceritakan kisah keluarga Imran yang
juga salasilah keluarga Nabi Isa AS. Surah Ibrahim memaparkan kisah Nabi
Ibrahim AS termasuk kisahnya dibakar oleh Namrud, namun tidak terbakar.
Kisah Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan umatnya, Nabi Nuh
dilanda banjir besar, Nabi Ayob dtimpa penyakit, Nabi Syuib dengan
tanamannya, Nabi Harun menjadi teman Nabi Musa, Nabi Khaidir dan
nabi-nabi yang lain termasuk yang tidak dinyatakan namanya dengan jelas.
Semua kisah sejarah ini bukan sekadar dipaparkan untuk memenuhkan
al-Qur’an tetapi untuk dijadikan iktibar dan teladan perjalanan manusia
hari ini dan akan datang.
Aspek-aspek manusia, masyarakat dan
sejarah akan melahirkan tamadun agung, iaitu tamadun yang menepati
matlamat penciptaan manusia, menghormati hak-hak asasi manusia dan
menjadikan peristiwa silam sebagai dorongan ke arah penciptaan tamadun
yang lebih dinamik.
1.4.3 Asas Tamadun Islam
Tamadun Islam terikat dengan beberapa
perkara penting yang menjadi asas pembinaan tamadun. Antaranya ialah
akidah, syariah, akhlak dan ilmu. Empat asas ini dikuti dengan asas
keadilan, semangat kejiranan, toleransi dan kebebasan beragama sebagai
pra-syarat Tamadun Islam. (Mahyudin Hj.Yahya :1998:15). Asas-asas ini
menjadikan Tamadun Islam tetap unggul walaupun tidak terbina di atas
tapak sejarah awal Islam iaitu di Semenajung Tanah Arab, khususnya di
bumi Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah.
* Akidah
Akidah merupakan satu konsep kepercayaan
yang akan membentuk iman kepada Allah SWT, para rasul, para Malaikat,
Kitab-kitab, Hari Akhirat dan Qada’ Qadar Allah. Keyakinan kepada konsep
tauhid kepada Allah memberi kesan dalam kehidupan manusia. Tauhid
merupakan falsafah kehidupan dalam Islam dan menjadi asas kepada
kelahiran tamadun. Keimanan kepada Allah SWT akan mengubah dan membentuk
pandangan manusia terhadap Tuhan, sesama manusia dan alam semesta.
Zaman Nabi Muhammad SAW merupakan zaman
kegemilangan Tamadun Islam, sama ada dalam aspek politik, pentadbiran
mahupun ekonomi. Umat Islam telah berjaya membentuk sebuah kerajaan
Islam yang kukuh di Kota Madinah dengan berasaskan akidah. Akidah yang
mantap telah membentuk sistem nilai, iaitu suatu sistem yang mengawal
sifat dan bentuk ketamadunan.
* Syariah
Syariah merangkumi ibadah dan muamalah.
Ibadah ialah peraturan-peraturan untuk melakukan peribadatan dan
ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga meliputi perilaku melaksanakan
kebaikan kepada sesama manusia dan alam. Muamalah pula ialah peraturan
perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek akhlak, politik, ekonomi
dan kemasyarakatan. Aspek syariah dalam Tamadun Islam dilihat sebagai
pemangkin kepada keutuhan dan kecemerlangan tamadun. Ia juga menjadi
pembeza antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Melaksanakan
keadilan pula adalah prinsip penting dalam perlaksanaan syariat Islam.
Ia menjadi lambang kesucian agama Islam. Pelaksanaan keadilan merupakan
asas bagi setiap penyusunan masyarakat dan negara. Oleh itu, jika akidah
boleh diibaratkan sebagai sumber inspirasi dalam menggerakkan tamadun,
syariah pula adalah sebagai penunjuk jalan, penentu kaedah dan
perlaksanaan Tamadun Islam. (Azhar, 2000: 129)
* Akhlak
Akhlak merupakan mekanisma yang
menggerakkan umat Islam menjadi umat yang bertamadun tinggi. Tanpa
akhlak, Tamadun Islam yang dibina tidak mempunyai sebarang erti. Oleh
itu, dalam ajaran Islam, akhlak merupakan pelengkap kepada akidah dan
syariah. Imam al-Ghazali menjelaskan akhlak merupakan suatu kebiasaan
yang terdapat dalam diri manusia. Seseorang akan melakukan dengan mudah
dan tidak perlu berfikir untuk menghasilkan perbuatan dan tingkah laku.
Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan terpuji ia dinamakan
akhlak yang baik (akhlak mahmudah), tetapi jika perbuatan atau tingkah
laku itu keji ia dinamakan akhlak yang buruk (akhlak mazmumah).
(Aboebakar Atjeh, 1985:13)
Nilai akhlak sebagai satu unsur pembinaan
tamadun sudah ada dalam tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Yunani
atau lain-lain tamadun. Walau bagaimanapun, nilai-nilai murni dalam
nilai akhlak disempurnakan oleh Nabi Muhamad SAW. Ini berdasarkan satu
hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan kemuliaan akhlak”.
* Ilmu
Kelahiran Tamadun Islam juga berasaskan
ilmu pengetahuan yang disarankan oleh firman Allah SWT dalam surah
al-‘Alaq (ayat Iqra’). Ia merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada
Rasulullah SAW. Penekanan kepada ilmu pengetahuan yang bermula dari
peringkat awal telah membangkitkan kesedaran pentingnya pembinaan
tamadun berasaskan pengetahuan. Sejarah kegemilangan Tamadun Islam telah
berjaya dicipta kerana penghayatan ummah terhadap budaya ilmu dalam
kehidupan seharian. Selain daripada kejayaan melahirkan tenaga-tenaga
mahir dan professional dalam pelbagai bidang, masyarakat Islam juga
mempunyai pegangan agama yang teguh, pemikiran yang tinggi dan akhlak
yang luhur.
Ilmu merupakan elemen penting yang menjadi
pemangkin pergerakan manusia. Penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan
menjadikan masyarakat Islam mampu melakukan penelitian, pengkajian dan
menghasilkan penemuan baru atau teknologi. Antara contoh intelektual
Islam yang menjadi pemangkin budaya ilmu pengetahuan dalam masyarakat
seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu Maskawayh, Ibn Batutah, Ibnu
Khaldun, al-Farabi, al-Kindi, al-Khawarizmi, al-Ghazali, al-Biruni dan
al-Battani. Selain itu, para ulama Islam turut berkembang kerana
pemilikan ilmu. Contohnya, Imam Shafie, Imam Maliki, Hanafi dan Hambali.
Mereka semua adalah intelektual Islam yang menjadikan al-Qur’an dan
al-Sunnah sebagai sumber utama ilmu mereka.
No comments:
Post a Comment