KERAJAAN TURKI UTHMANIYYAH
Meriam Raksasa |
Era Pengasasan (1299-1389)
Empayar Uthmaniyyah, tidak seperti empayar-empayar lain yang berdiri atas sebab meluaskan jajahan atau mengaut kekayaan atau merakus kekuasaan. Empayar ini dibina atas dasar syahadatul haq, untuk memakmurkan bumi ini daripada dengan Islam.
Inilah perjuangan asal yang dibawa oleh Osman Ertuğrul, yang memulakan harakah (gerakan) Islam yang disebut sebagai Osman Ghazi. Osman Ghazi ialah satu gerakan untuk menyebarkan Islam di sekitar wilayah Anatolia. Ia dimulai oleh Osman Ertuğrul dan diikuti oleh pengikut-pengikutnya yang setia, yang menggelarkan diri mereka Ghazi. Di sinilah bermulanya gerakan Osman Ghazi.
Sebagaimana golongan ansorullah dari kalangan hawariyyun pimpinan Nabi Isa a.s. dan juga golongan sahabat yang dipimpin Rasulullah s.a.w., Osman Ertuğrul memulakan gerakannya dengan mengumpulkan qaedah sulbah (golongan teras) yang setia dan kental untuk bersamanya. Mereka inilah yang menjadi tapak (foundation) yang kokoh bagi terbinanya sebuah daulah yang agung.
Wilayah Anatolia sentiasa tersepit dengan ancaman kerajaan Byzantine di bahagian barat dan juga Mongol di bahagian timur. Disebabkan terhimpit dengan situasi ini, gerakan Osman Ghazi memulakan jihad melawan kedua-dua kuasa ini. Satu demi satu wilayah kejayaan dicapai sehinggalah mereka berjaya menawan kota Bursa daripada cengkaman Byzantin. Osman Ertuğrul diangkat menjadi pemerintah dan menamakan dirinya Sultan Osman I. Sultan Osman menjadikan Bursa sebagai pusat pemerintahan. Dari sinilah munculnya kuasa baru yang bakal merubah sejarah, menumpaskan kekuasaan Rome Timur dan Rome Barat.
Era Perluasan (1389-1453)
Dalam era ini, kerajaan Uthmaniyyah yang dipimpin Sultan Murad I mula meluaskan pemerintahan sehingga ke wilayah Balkan. Pada tahun 1389 tercetuslah Perang Kosovo yang menyebabkan sebahagian wilayah Serbia menjadi sebahagian daripada kerajaan Uthmaniyyah. Balkan yang sebelum itu diperintah oleh Kerajaan Serbia tidak pernah aman kerana persengketaan yang berlarutan antara penganut Kristian Orthodox dan Kristian Katolik. Selepas kemenangan ini, Islam mula berkembang ke wilayah itu dan muncullah bangsa Bosniak yang kekal Muslim hingga hari ini.
Selepas menakluk Serbia, Sultan Beyazid memimpin umat Islam menakluki Bulgaria. Perang Nicopolis tercetus. Perang ini juga disebut sebagai Perang Salib Nicopolis kerana seluruh kekuatan Kristian Katolik bersatu menentang perluasan kuasa oleh kerajaan Uthmaniyyah. Kerajaan Roman Katolik, Hungary, Perancis, Poland, Scotland, Switzerland, Vanesia, Genova dan Wallachia turun bersatu bersama kerajaan Bulgaria. Walaupun berdepan gabungan tentera bersekutu yang banyak, perang ini berakhir dengan kemenangan umat Islam yang akhirnya berjaya membuka kota Sofia di Bulgaria.
Walaupun telah menguasai sebahagian wilayah-wilayah Balkan dan Bulgaria yang majoriti penganutnya ialah Kristian Katolik dan Orthodox, kerajaan Uthmaniyyah tidak memaksa penduduk wilayah tersebut memeluk Islam. Namun, sebilangan besar mereka di Bosnia, Macedonia dan Albania memeluk Islam dan hidup harmoni bersama Katolik dan Orthodox. Satu keharmonian yang tak pernah dicapai sebelum ini.
Era Kekuasaan (1453-1566)
Selepas Serbia dan Bulgaria dikuasai, ia memberikan tekanan yang kuat terhadap kerajaan Byzantin yang berpengkalan di Constantinople. Kota Constantinople tersepit ditengah-tengah. Ini memberi peluang kepada peristiwa pembukaan kota agung itu oleh Sultan Muhammad II yang digelar Al-Fatih. Dari sinilah bermula era keagungan Empayar Uthmaniyyah yang memimpin seluruh dunia, mengabdikan diri kepada kekuasaan Allah s.w.t.
Dengan kemengangan ini, ia telah membuka ruang yang luas untuk Islam menembusi seluruh benua Eropah. Sejak itu, satu demi satu wilayah tunduk menyatakan ketundukan kepada kekuasaan Islam sehingga seluruh wilayah Balkan (Bosnia, Serbia, Albania, Slovenia, Croatia, Macedonia, Greece) berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih. Semenjak itu, berbondong-bondong orang Eropah yang berbangsa Slavia memeluk Islam, dan ia kekal hingga ke hari ini.
Sultan Sulaiman The Magnificent menyambung legasi Sultan Muhammad Al-Fatih dengan perluasan empayar ke wilayah-wilayah Eropah, Asia dan Afrika. Baginda memimpin armada laut yang terbesar pernah disaksikan oleh dunia ketika itu. Armada laut Uthmaniyyah menjadi kegerunan kuasa-kuasa dunia ketika itu. Pada era Sultan Sulaiman, seluruh dunia Islam bersatu dibawah sebuah pemerintahan yang berpusat di Istanbul.
Iraq, Parsi, Syam, Parsi, semenanjung Arab, Algeria, Tunisia, Libya, sebahagian Perancis, Hungary, Austria, Asia Tengah, bahkan wilayah Nusantara bersatu dibawah satu panji pemerintahan Islam yang agung.
Era Kejatuhan (1683-1908)
Setelah kemangkatan Sultan Sulaiman The Magnificent, pengganti baginda Sultan Mehmet IV cuba meluaskan kuasa ke Vienna, Austria. Vienna ketika itu ialah ibu kota Roman Empire. Keberangkatan tentera Uthmaniyyah ke Vienna menyebabkan Perang Vienna 1683 tercetus. Perang berlanjutan selama berbulan-bulan. Tentera Uthmaniyyah mengepung kota Vienna di Gate of Vienna sehingga pertempuran berlaku. Tentera Uthmaniyyah telah tewas dalam perang ini. Kekalahan ini telah meningkatkan moral kuasa-kuasa Eropah yang lain untuk bangkit menentang Empayar Uthmaniyyah dan menakluk wilayah-wilayahnya.
Bermula saat ini, Empayar Uthmaniyyah sedikit demi sedikit mula runtuh dan mengecil. Satu demi satu wilayah Uthmaniyyah jatuh ke tangan kuasa penjajahan lain seperti Perancis, British, Austro-Hungary dan Rusia.
Selain itu, banyak wilayah-wilayah lain yang bangkit atas semangat nasionalisme kebangsaan, menuntut pembebasan daripada kekuasaan Uthmaniyyah. Wilayah-wilayah Arab-Islam yang disuntik semangat nasionalisme Arab bangkit menentang ketuanan khalifah yang berbangsa Turki.
Faktor-faktor dalaman seperti pergolakan politik, kemewahan yang melampau, kezaliman pemerintah dan wakil pemerintah, rasuah, perpecahan, perebutan kuasa juga menjadi sebab kejatuhan empayar yang hebat ini.
Selain itu, agenda musuh yang berjaya menyelinap masuk ke dalam pemerintahan tertinggi melemahkan lagi institusi Khilafah Uthmaniyyah ketika itu.
Lenyapnya Empayar Uthmaniyyah (1908-1924)
Keterlibatan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Rusia-Turki disamping perang-perang lain menyebabkan Uthmaniyyah semakin tenat, sehingga digelar ‘Sick People of Europe‘. Kerajaan terpaksa menanggung hutang yang menggunung tinggi selain urus tadbir yang tidak cekap.
Selain itu, muncul golongan muda yang menggelar diri mereka The Young Turks. Kumpulan ini memulakan gerakan pembaharuan dalam masyarakat Turki dengan menyebarkan idea-idea pemodenan. Mereka memperjuangkan pemerintahan Turki yang bebas daripada Islam dan mengikut sistem Barat untuk mencapai kemajuan. Suara-suara mereka agak vokal dalam pemerintahan khilafah ketika itu kerana mempunyai tokoh-tokoh besar dalam institusi kerajaan.
Antara tokoh terhebat mereka ialah Mustafa Kamal, yang berada dalam pemerintahan tertinggi tentera Uthmaniyyah ketika itu. Mustafa Kamal cuba mengurangkan kuasa Sultan dengan menubuhkan parlimen dan diangkat mengetuai parlimen tersebut.
Setelah memperoleh kuasa di parlimen, Mustafa Kamal memperjuangkan supaya institusi khalifah dimansuhkan dan diganti dengan sistem yang digunapakai di Barat. Disebabkan kekuatan dan sokongan yang masih ada pada Sultan Abdul Hamid II ketika itu, rancangan Mustafa Kamal gagal.
Namun beliau tidak berputus asa, lantas terus mencuba dan mendapatkan lobi daripada kuasa luar. Sultan Abdul Hamid II kemudiannya digantikan dengan sultan ‘boneka’, iaitu Sultan Mehmed V selepas beberapa konspirasi direkayasa. Akhirnya, kuasa khalifah secara rasmi dimansuhkan pada tanggal 3 Mac 1924. Sultan Abdülmecid II, khalifah yang terakhir dipecat daripada jawatannya dan muncullah negara Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Ataturk.
Runtuhnya Khilafah, Hilanglah Izzah
Begitulah secara ringkas kronologi kebangkitan dan kejatuhan sebuah tamadun agung yang pernah memimpin sebahagian besar masyarakat dunia. Dengan kewujudan khilafah yang kuat, umat Islam bersatu dibawah satu panji, dinaungi dan dilindungi dengan kemuliaan.
Hari ini, umat bagai diratah mentah di segenap penjuru dunia. Tiada lagi izzah dan maruah.
Bersamalah Gelombang Dakwah
Pada tahun 1928, muncul sebuah gerakan yang dipimpin oleh Hasan Al-Banna untuk mengembalikan semula kegemilangan khilafah Islam yang pernah kita kecapi satu ketika dahulu. Gerakan yang subur ini menjadikan dakwah sebagai agenda utama bagi merealisasikan impian ini.
No comments:
Post a Comment